 |
Perkara 4 - Pembatalan Kebenaran
- Tiap-tiap Pihak boleh menahan, membatalkan, menggantung, mengehadkan atau mengenakan syarat-syarat mengenai kebenaran mengendalikan atau keizinan teknikal sesebuah syarikat penerbangan yang ditetapkan oleh Pihak yang lain jika:
- kawalan berkesan syarikat penerbangan itu tidak terletak di tangan Pihak yang menetapkan, warganegara-warganegaranya, atau kedua-duanya;
- Pihak yang pertama menentukan bahawa pemilikan yang besar terletak di tangan warganegara-warganegaranya;
- syarikat penerbangan itu tidak diperbadankan atau tidak mempunyai tempat perniagaan utamanya dalam wilayah Pihak yang menetapkan syarikat penerbangan itu;
- syarikat penerbangan itu gagal mematuhi undang-undang, peraturan-peraturan dan aturan-aturan yang disebutkan dalam Perkara 5 (Pengenaan Undang-Undang) dari Perjanjian ini; atau
- Pihak yang satu lagi tidak memelihara dan melaksanakan standard yang dinyatakan dalam Perkara 6 (Keselamatan).
- Kecuali jika tindakan serta-merta diperlukan untuk menghindarkan perenggan-perenggan kecil 1 (d) atau 1 (e) dari Perkara ini tidak dipatuhi selanjutnya, hak-hak yang ditetapkan oleh Perkara ini hendaklah dijalankan hanya setelah membuat perundingan dengan Pihak yang menetapkan syarikat penerbangan tersebut.
- Pihak yang telah melaksanakan haknya untuk menahan, membatalkan, menggantung, mengehadkan atau mengenakan syarat-syarat mengenai kebenaran mengendalikan sesebuah syarikat atau syarikat-syarikat penerbangan menurut perenggan 1 dari Perkara ini hendaklah memaklumkan Depositari mengenai tindakannya.
- Perkara ini tidak mengehadkan hak-hak mana-mana Pihak untuk menahan, membatalkan, menggantung, mengehadkan atau mengenakan syarat-syarat mengenai kebenaran mengendalikan atau keizinan teknikal sesebuah syarikat atau syarikat-syarikat penerbangan Pihak-pihak lain menurut peruntukan-peruntukan Perkara 7 (Keselamatan Penerbangan).
|