 |
Perkara 3 - Penandatanganan, Pengesahan dan Persetejuan
- Protokol ini hendaklah terbuka untuk ditandatangani oleh mana-mana penandatangan kepada Perjanjian dari 1 haribulan Mei, 2001, sehingga Protokol ini berjalan kuatkuasanya.
- Mana-mana Negara yang telah menandatangani Perjanjian boleh menyatakan persetujuannya untuk terikat dengan Protokol ini dengan penandatanganan yang tidak tertakluk kepada pengesahan, penerimaan atau kelulusan; atau dengan memberikan suratcara pengesahan, penerimaan atau kelulusan dengan syarat bahawa sesebuah Negara tidak boleh mengambil langkah tersebut melainkan ia telah menyatakan persetujuannya untuk terikat dengan Perjanjian.
- Setelah Protokol ini berjalan kuatkuasanya, ia hendaklah terbuka bagi persetujuan oleh mana-mana Pihak kepada Perjanjian. Anggota ekonomi APEC yang telah bersetuju untuk terikat dengan Perjanjian menurut Tambahan kepada Perjanjian boleh, dengan suratcara bertulis yang diserahkan kepada Depositari, bersetuju untuk terikat dengan Protokol ini.
- Suratcara pengesahan, penerimaan, kelulusan atau persetujuan hendaklah diberikan kepada Depositari. Depositari hendaklah dengan segera memaklumkan Pihak-Pihak kepada Perjanjian, dan kesemua ahli ekonomi APEC yang bersetuju untuk terikat dengan Perjanjian ini menurut Tambahan kepada Perjanjian, mengenai penerimaan pernyataan persetujuan untuk terikat dan penerimaan suratcara dari anggota ekonomi APEC menurut perenggan 3 dari Perkara ini.
- Mana-mana Pihak kepada Perjanjian ini, setelah menyatakan persetujuannya untuk terikat dengan Protokol ini, boleh membuat reservasi mengenai hak yang diberikan dalam perenggan (b) Perkara 2 dari Protokol ini. Mana-mana anggota ekonomi APEC, setelah menyatakan persetujuan untuk terikat menurut perenggan 3 dari Perkara ini, boleh menyatakan secara bertulis bahawa ia tidak bersetuju untuk terikat dengan perenggan (b) Perkara 2 dari Protokol.
- Jika, menurut perenggan 5 dari Perkara ini, sesebuah Negara membuat reservasi atau sesebuah anggota ekonomi APEC menyatakan bahawa ia tidak bersetuju untuk terikat dengan perenggan (b) Perkara 2, mana-mana Pihak kepada Protokol atau anggota ekonomi APEC yang bersetuju untuk terikat dengan Protokol ini yang tidak membuat reservasi atau penyataan, boleh, samaada dengan menyatakan persetujuannya untuk terikat atau bersetuju sebaliknya untuk terikat, atau dalam tempoh sembilan puloh (90) hari dari tarikh pemberitahuan Depositari kepada Pihak-Pihak mengenai reservasi atau penyataan tersebut, memberitahu Depositari bahawa:
- reservasi atau penyataan hendaklah digunakan secara timbal balik oleh Pihak itu atau anggota ekonomi APEC yang menyertai dalam hubungannya dengan Negara yang membuat reservasi atau anggota ekonomi APEC yang membuat penyataan tersebut; atau
- Protokol hendaklah tidak dikenakan di antara Pihak itu atau anggota ekonomi APEC yang menyertai dan Negara yang membuat reservasi atau anggota ekonomi APEC yang membuat penyataan sedemikian.
|