Maliat site Multilateral Agreement on the Liberalization of International Air Transportation
Multilateral Agreement on the Liberalization of International Air Transportation
Agreement Protocol Country Other Contacts Site Map Quarterly Fleet Statistics (Data tables) - April to June 2019 update Return to site home page

Agreement - Malay - Perkara 14

Perkara 14 - Penyelesaian Pertikaian

  1. Sebarang pertikaian yang timbul di bawah Perjanjian ini yang tidak dapat diselesaikan melalui pusingan pertama perundingan-perundingan boleh dirujuk kepada beberapa orang atau badan dengan persetujuan Pihak-Pihak yang terlibat untuk mendapatkan keputusan. Sekiranya Pihak-Pihak yang terlibat tidak bersetuju, pertikaian itu hendaklah atas permintaan salah satu Pihak dikemukakan untuk timbangtara bagi Pihak yang satu lagi mengikut prosedur yang dinyatakan di bawah. Pihak yang menghadapkan pertikaian itu kepada timbangtara hendaklah memaklumkan kesemua Pihak yang lain mengenai pertikaian itu pada masa ianya mengemukakan permintaan timbangtara.
  2. 2. Timbangtara hendaklah dengan panel yang terdiri daripada tiga orang penimbangtara yang akan ditubuhkan seperti berikut:
    1. dalam masa tiga puloh (30) hari selepas menerima permintaan untuk timbangtara, tiap-tiap Pihak yang bertikai hendaklah menamakan seorang penimbangtara. Dalam masa enam puloh (60) hari setelah kedua-dua penimbangtara ini dinamakan, Pihak-Pihak yang bertikai hendaklah dengan persetujuan melantik penimbangtara yang ketiga, yang akan bertindak sebagai Presiden panel timbangtara;
    2. jika salah satu Pihak yang bertikai gagal menamakan seorang penimbangtara, atau jika penimbangtara yang ketiga tidak dilantik menurut perenggan kecil (a) perenggan ini, salah satu Pihak boleh meminta Presiden Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa supaya melantik penimbangtara atau penimbangtara-penimbangtara yang diperlukan itu dalam masa tiga puloh (30) hari. Sekiranya Presiden Majlis itu sama kerakyatannya dengan salah satu Pihak yang bertikai, Naib Presiden yang paling kanan yang tidak hilang kelayakannya atas alasan itu hendaklah membuat lantikan tersebut.
  3. Kecuali sebagaimana yang dipersetujui sebaliknya oleh Pihak-Pihak yang bertikai, panel timbangtara hendaklah menentukan had-had bidang kuasanya menurut Perjanjian ini dan hendaklah menetapkan aturan-aturan prosedurnya sendiri. Panel timbangtara itu, sebaik sahaja ditubuhkan, boleh menyarankan langkah-langkah pelepasan interim sementara menunggu keputusan muktamadnya. Atas arahan panel timbangtara itu atau atas permintaan salah satu Pihak yang bertikai, suatu persidangan mengenai isu-isu yang tepat yang hendak di timbangtara dan prosedur khusus yang akan diikuti hendaklah diadakan pada tarikh yang ditetapkan oleh panel timbangtara, tidak lewat dari lima belas (15) hari selepas penimbangtara yang ketiga telah dilantik. Jika Pihak-Pihak yang bertikai tidak mencapai persetujuan mengenai isu-isu ini, panel timbangtara tersebut hendaklah menentukan isu-isu yang tepat yang hendak di timbangtara dan prosedur-prosedur khusus yang akan diikuti.
  4. Kecuali sebagaimana yang dipersetujui sebaliknya oleh Pihak-Pihak yang bertikai atau sebagaimana yang diarahkan oleh panel tersebut, Pihak yang mengadu hendaklah mengemukakan suatu memorandum dalam masa empat puloh lima (45) hari dari masa penimbangtara ketiga di lantik, dan jawapan dari Pihak yang satu lagi hendaklah sampai enam puloh (60) hari selepas Pihak yang mengadu mengemukakan memorandumnya. Pihak yang mengadu boleh mengemukakan rayuan sebagai jawapan dalam tempoh tiga puloh (30) hari setelah dari Pihak yang satu lagi mengirimkan jawapan tersebut dan Pihak yang satu lagi itu boleh mengemukakan rayuan bagi menjawab rayuan Pihak yang mengadu setelah pengiriman rayuan. Panel timbangtara itu hendaklah mengadakan satu pendengaran atas permintaan salah satu Pihak atau atas daya usahanya sendiri dalam masa lima belas (15) hari setelah rayuan yang terakhir di terima.
  5. Panel timbangtara tersebut hendaklah berusaha untuk memberikan keputusan bertulis dalam masa tiga puloh (30) hari selepas pendengaran itu selesai atau, sekiranya pendengaran tidak diadakan, selepas tarikh rayuan yang terakhir dihantar. Keputusan majoriti panel timbangtara hendaklah dipakai.
  6. Pihak-Pihak yang bertikai boleh mengemukakan permintaan-permintaan untuk penjelasan keputusan tersebut dalam masa lima belas (15) hari selepas ia diberikan dan sebarang penjelasan yang diberikan hendaklah dikeluarkan dalam masa lima belas (15) hari dari tarikh permintaan tersebut.
  7. Dalam hal suatu pertikaian yang melibatkan lebih dari dua Pihak, Pihak-Pihak yang berbilang boleh menyertai salah satu atau kedua-dua pihak mengenai prosiding yang dinyatakan dalam Perkara ini. Prosedur-prosedur yang dinyatakan dalam Perkara ini hendaklah dikenakan bagi perkara �perkara berikut kecuali:
    1. berhubung dengan perenggan 2(a), jika Pihak-Pihak dari setiap pihak yang bertikai sama-sama menamakan seorang penimbangtara;
    2. berhubung dengan perenggan 2(b), jika Pihak-Pihak dari satu pihak yang bertikai gagal menamakan seorang penimbangtara dalam tempoh yang dibenarkan, Pihak atau Pihak-Pihak dari Pihak yang bertikai yang satu lagi boleh menggunakan prosedur-prosedur dalam perenggan 2(b) untuk menjamin perlantikan seorang penimbangtara; dan
    3. berhubung dengan perenggan-perenggan 3, 4, dan 6, tiap-tiap Pihak dari salah satu pihak yang bertikai mempunyai hak untuk mengambil tindakan yang disediakan kepada satu Pihak.
  8. Mana-mana Pihak yang lain yang terjejas secara langsung dengan pertikaian tersebut mempunyai hak untuk campurtangan dalam prosiding, di bawah syarat-syarat yang berikut:
    1. satu Pihak yang berhasrat untuk campur tangan hendaklah mengemukakan satu kenyataan bagi maksud itu kepada panel timbangtara tidak lewat dari sepuloh (10) hari setelah penimbangtara yang ketiga dinamakan.
    2. panel timbangtara hendaklah memaklumkan Pihak-Pihak yang bertikai mengenai sebarang pengisytiharan tersebut, dan tiap-tiap Pihak-Pihak yang bertikai mempunyai tiga puloh (30) hari dari tarikh pemberitahuan di hantar kepada panel timbangtara untuk mengemukakan sebarang bantahan terhadap campurtangan di bawah perenggan ini. Panel timbangtara hendaklah membuat keputusan dalam masa lima belas (15) hari setelah tarikh bantahan itu diterima mengenai kebenaran sebarang campurtangan;
    3. jika panel timbangtara membuat keputusan untuk membenarkan campurtangan, Pihak yang campurtangan hendaklah memaklumkan kesemua Pihak yang lain kepada Perjanjian ini mengenai campurtangan itu, dan panel timbangtara hendaklah mengambil langkah-langkah yang perlu untuk membuat dokumen-dokumen mengenai perkara tersebut boleh diperolehi kepada Pihak yang campurtangan, yang akan mengemukakan rayuan-rayuan dalam bentuk dan dalam masa terhad yang akan ditetapkan oleh panel timbangtara, dalam tempoh jadual yang dinyatakan dalam perenggan 4 dari Perkara ini setakat yang praktis, dan boleh ikut serta dalam mana-mana prosiding seterusnya; dan
    4. keputusan panel timbangtara akan mengikat sama Pihak yang campurtangan.
  9. Kesemua Pihak yang bertikai, termasuk Pihak-Pihak yang campurtangan, hendaklah, setakat mana yang selaras dengan undang-undang mereka, menguatkuasakan sepenuhnya sebarang keputusan atau award panel timbangtara.
  10. Panel timbangtara hendaklah menghantar salinan-salinan keputusannya atau award kepada Pihak-Pihak yang bertikai, termasuk mana-mana Pihak yang campurtangan. Panel timbangtara hendaklah memberikan salinan keputusan atau award kepada Depositari, dengan syarat layanan yang bersesuaian hendaklah diberikan kepada maklumat sulit perdagangan.
  11. Perbelanjaan panel timbangtara, termasuk bayaran dan perbelanjaan penimbangtara-penimbangtara, hendaklah dibahagi sama rata oleh Pihak-Pihak yang bertikai, termasuk Pihak-Pihak yang campurtangan. Sebarang perbelanjaan yang dibuat oleh Presiden Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa berkenaan dengan prosedur-prosedur perenggan (2) (b) dari Perkara ini hendaklah dianggap sebagai sebahagian daripada perbelanjaan panel timbangtara.

New Zealand Ministry of Transport
Attention: Air Services
Phone: +64-4-439-9000
Fax: +64-4-439-9004
e-mail: maliat@transport.govt.nz
New Zealand Ministry of Foreign Affairs and Trade
Attention: Treaty Officer
Legal Division
Fax:+64-473-2103
e-mail: lgl@mfat.govt.nz